Pengajaran dari Kisah Nabi Nuh A.S.

Kisah nabi Allah Nuh A.S. adalah diantara kisah yang banyak Allah rakamkan didalam Al-Quran bagi hambanya untuk menghayati akan kandungan hikmah yang tersirat di sebalik peristiwa itu. Bahkan didalam Al-Quran terdapat Surah yang dikhaskan bagi menceritakan perihal perjalanan dakwah baginda; iaitu di surah yang diberi nama surah Nuh; iaitu surah yang ke- 71 dari kesemua 114 surah yang ada didalam Al-Quran.

Manakan tidaknya, walaupun berusaha mendakwahi kaumnya untuk tidak menyekutukan Allah selama hampir seribu tahun sepertimana yang tercatat pada surah Al-Ankaabut (29) ayat ke-14, namun hanya puluhan orang sahaja yang beriman dengan ajaran yang dibawa oleh baginda.

Di samping itu, antara dugaan terbesar yang dialami oleh baginda selain dimusuhi kaumnya adalah keluarga beliau sendiri, iaitu isteri dan anak kandungnya turut enggan (kufur) kepada risalah yang dibawa baginda sepertimana firman Allah s.w.t. didalam surah yang ke-sebelas iaitu surah Hud pada ayat yang ke- 42 dan 43 yang menceritakan perihal kekafiran anak baginda dan juga pada surah Tahrim (66) ayat ke-10. Selain itu, beliau turut dituduh sebagai seorang gila bilamana baginda melakukan perkara yang tidak munasabah seperti membina bahtera diatas bukit.

Namun, cemuhan sebagai seorang gila dan berbagai-bagai lagi cemuhan tidaklah sedikitpun menggoyahkan iman baginda terhadap penciptanya iaitu Allah dalam menebarkan risalah dakwah. Baginda adalah seorang yang tetap dengan pendiriannya disamping amat teguh iman serta taqwanya kepada Allah.

Justeru, adalah dapat disimpulkan bahawasanya dalam menghayati sirah Nabi Allah yang mulia ini, terdapat pengajaran yang sangat berguna bagi kita sebagai umat Islam untuk menghayati akan intipatinya. Diantaranya adalah jangan dan tidak sesekali hanya disebabkan tidak mempunyai pengikut yang ramai kelak menyebabkan semangat kita dalam menebarkan dakwah kian terhakis bahkan runtuh sama sekali; selain mengingatkan kepada kita agar tidak sesekali berbangga dengan mempunyai pengikut yang ramai berbanding orang lain yang dirasakan lebih rendah dari diri kita yang kelak akan membawa kepada perasaan ujub (bangga diri) dan juga takabbur yang sememangnya merupakan sikap yang menyebabkan dilaknatnya Iblis.

Selain itu, diantara pengajaran lain yang jelas terpampang didalam kisah Nabi Allah A.S. ini adalah sesungguhnya iman tidak dapat diwarisi. Lihat sahajalah perihal anak baginda A.S. yang kufur kepada ajaran yang dibawa bapanya dan demikian juga dengan isteri baginda yang berlaku khianat terhadap baginda sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini (diatas) biarpun diketahui yang membimbing mereka tidak lain dan tidak bukan merupakan utusan Allah s.w.t. sendiri.

Allahua’lam….

Comments