Demonstrasi: Persamaan Imam di dalam dan di luar solat

Ditulis Oleh: Muhammad Zulsyamini (Abu Afham) bin Sufian Suri, Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) UiTM Shah Alam

Bagi menghalalkan demonstrasi atau memberontak kepada penguasa, segelintir individu yang diangkat sebagai 'Ulama' meng-Qias-kan demonstrasi itu sama sepertimana solat yang didirikan secara berjemaah atau solat Jumaat, dimana tokoh terbabit menyatakan bahawasanya solat berjemaah itu juga adalah satu bentuk demonstrasi kepada Allah.

Analogi seperti itu amat jelas kebatilannya  dimana demonstrasi adalah satu bentuk tunjuk perasaan untuk menderhaka (terhadap pemerintah) sedangkan solat adalah bentuk penyembahan yang berupa ketaatan terhadap Allah.

Selain itu ia juga tetap bercanggah dengan suruhan Nabi yang menyatakan bahawasanya sebaik-balik saf solat adalah yang paling hadapan bagi kaum lelaki dan yang paling belakang bagi kaum perempuan.
Selanjutnya Rasulullah s.a.w. menyambung bahawasanya seburuk-buruk saf solat adalah yang paling terkebelakang bagi lelaki dan yang paling hadapan bagi wanita bagi menunjukkan bertapa Islam amat menekankan soal pergaulan/ percampuran diantara lelaki dan perempuan dan sepertimana maklum demonstrasi tidak akan pernah lari daripada percampuran diatara lelaki dan perempuan.

Keadaan ini lain halnya dimana pada setiap demonstrasi yang diadakan, pasti akan ada lelaki yang bercampur baur dengan perempuan. Inilah fatwa ulama' akhir zaman! Menggunakan qias yang jelas batil dan menyalahi tuntutan Syara' namun bertapa ramai manusia yang akur dengan fatwa batil ini.

Malangnya, Muslimah berpurdah pun diperalatkan oleh sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan pemerintah Muslim sedia ada. Tidakkah wanita lebih mulia tempatnya di rumah? Alangkah Nabi s.a.w. sendiri menyatakan bahawa solat yang lebih aulaa bagi wanita adalah di rumah-nya berbanding pergi ke masjid sebagai lawan bagi lelaki yang solatnya lebih utama di masjid.

Mentaati pemerintah seperti mengikuti Imam solat

Perumpamaan perihal mentaati pemerintah adalah sebagaimana kita sedang mendirikan solat secara berjemaah. Sungguhpun seorang Imam dilantik dari kalangan mereka yang dianggap fasiq ataupun Ahli Bid'ah (maksiat), namun para makmum tetap wajib mengikut setiap gerak-geri Imam tersebut selagimana solat Imam itu tidak terbatal yang dapat diumpamakan sebagai batal keIslaman akibat melakukan kekufuran.

 Perkara ini adalah sebagaimana atsar (hadith) riwayat imam Al-Bukhari yang menyatakan bahawasanya biarpun seorang lelaki yang mempunyai sifat serta ciri kewanitaan atau secara kasarnya disebut sebagai 'pondan' dilantik menjadi Imam untuk memimpin solat berjemaah, namun para makmum tetap dikehendaki taat atau mengikut setiap perbuatan Imam 'pondan' tersebut sewaktu solat didirikan.

Jika dilihat dari hadith yang menceritan kisah tersebut , sahabat Nabi s.a.w  Uthman Al-Affan dengan jelas menyuruh sahabat lain tetap mengikuti seorang Imam didalam solat biarpun Imam itu jelas bagi kita merupakan seorang yang fasiq. Maka dengan itu,kita dapat melihat bahawa keimaman seorang yang tertuduh sebagai fasiq atau Ahli Bid'ah (maksiat) tetap sah dan keimaman seseorang tidaklah terbatas kepada orang yang dianggap sebagai mukmin atau salih sahaja. Maka dapat disimpulkan jika keabsahannya sebagai imam pun diakui di dalam urusan peribadatan yang merupakan tiang agama, manakan mungkin seorang imam (penguasa) di luar solat dapat dinafikan haknya sebagai pemerintah?

Adapun dosa serta kekurangan Imam itu adalah bagi tanggungannya sendiri sebagaimana hadith yang berbunyi:

“Para imam solat memimpin kalian. Maka jika dia benar, dia (imam)mendapat pahala dan kalian juga mendapatkan bahagian dari pahalanya. Namun apabila dia (imam) salah kalian tetap mendapatkan pahala dan mereka  (akan) mendapatkan dosa." (Riwayat Al-Bukhari dalam Sahih-nya daripada Abu Hurairah)

Ahli Majlis Syura Sekretariat Ilmuan Malaysia merangkap pegawai penyelidik di kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Ustaz Idris Sulaiman juga menjelaskan  bahawa ketaatan kita terhadap pemerintah (imam) sama halnya dengan kewajipan mentaati, tidak menyaingi dan tidak mendahului imam di dalam solat berjemaah.

Alasan beliau adalah berdasarkan kisah ketikamana Rasulullah s.a.w. tetap menyuruh para makmum (sahabat) untuk solat secara duduk walaupun tiada keuzuran mendatang seperti tidak mampu berdiri sekiranya sang imam solat secara duduk dengan menyatakan bahawa perbuatan itu lebih utama serta dituntut kerana tidak menyelisihi adat kaum kafir daripada bangsa Rom dan Parsi yang berdiri di hadapan maharaja mereka sedangkan raja mereka sedang duduk.  Kisah tersebut diriwayatkan dalam Sahih Imam Muslim (no.624) dan Ibn Majah dimana hadithnya berbunyi:.

Dari Jabir bin Abdullah r.a., bahawa dia berkata:

اشْتَكَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّيْنَا وَرَاءَهُ وَهُوَ قَاعِدٌ وَأَبُو بَكْرٍ يُسْمِعُ النَّاسَ تَكْبِيرَهُ فَالْتَفَتَ إِلَيْنَا فَرَآنَا قِيَامًا فَأَشَارَ إِلَيْنَا فَقَعَدْنَا فَصَلَّيْنَا بِصَلَاتِهِ قُعُودًا فَلَمَّا سَلَّمَ قَالَ إِنْ كِدْتُمْ آنِفًا لَتَفْعَلُونَ فِعْلَ فَارِسَ وَالرُّومِ يَقُومُونَ عَلَى مُلُوكِهِمْ وَهُمْ قُعُودٌ 
فَلَا تَفْعَلُوا ائْتَمُّوا بِأَئِمَّتِكُمْ إِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا وَإِنْ صَلَّى قَاعِدًا فَصَلُّوا قُعُودًا

"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengeluh kesakitan, lalu kami solat di belakangnya, sedangkan baginda s.a.w dalam keadaan duduk, dan Abu Bakar memperdengarkan takbirnya kepada manusia. Lalu baginda menoleh kepada kami, maka baginda melihat kami solat dalam keadaan berdiri. Lalu beliau memberi isyarat kepada kami untuk duduk, lalu kami solat dengan mengikuti solat baginda dalam keadaan duduk. Ketika baginda s.a.w. mengucapkan salam, maka baginda bersabda:  “Kalian baru sahaja hampir melakukan perbuatan kaum Farsi dan Rom (dimana) mereka berdiri di hadapan raja mereka, sedangkan mereka (rakyat) dalam keadaan duduk. Maka janganlah kalian melakukannya (sedemikian rupa). Berimam-lah dengan imam kalian. Jika dia (imam) solat dalam keadaan berdiri, maka solatlah kalian dalam keadaan berdiri, dan jika dia solat dalam keadaan duduk, maka solatlah kalian dalam keadaan duduk.”


Jika dilihat, Rasulullah menyamakan perbuatan para sahabat yang ingin mendirikan solat itu dengan situasi para rakyat serta pemerintah Rom dan Parsi dimana secara zahirnya situasi kaum Rom dan Parsi itu sememangnya bukan dalam urusan peribadatan atau sedang menyembah sesembahan mereka ketika itu, namun lebih kepada mengfokuskan bahawa ianya adalah dalam situasi biasa dalam urusan keduniaan. Maka dengan itu, terbuktilah hipothisis bahawa prinsip ketaatan terhadap pemerintah sama halnya dengan kewajipan taat , tidak mendahului serta menyaingi imam di dalam solat.

Sebagaimana pemerintahan seorang yang masih beraqidah Islam, maka pemerintahannya tetap sah walaupun berbagai kezaliman yang telah dilakukan olehnya. Sebagaimana prinsip aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, seseorang Muslim tidak boleh dikafirkan hanya kerana dosa-dosa besar yang telah dilakukannya seperti berzina , mencuri, minum arak dan sebagainya selagimana individu tersebut tidak menghalalkan perbuatan-perbuatan seumpama itu.

Berbalik kepada isu diatas, maka mahu penulis tanyakan, adakah dimasa sesuatu solat secara berjemaah itu didirikan, maka bolehkah salah seorang dari makmum yang solat di belakang Imam tersebut secara tiba-tiba melantik dirinya sendiri sebagai Imam menggantikan Imam yang pertama tadi biarpun tiada apa yang tampak dari perbuatan Imam pertama tersebut kesalahan yang menyebabkan solatnya terbatal seperti meninggalkan rukun solat atau terkena najis umpamanya? Ataupun berniat untuk berpisah (Mufarraqh) dari Imam terbut lalu solat bersendirian?

Fiqh solat secara berjemaah juga mengajar kita agar sekumpulan orang tidak mengadakan jemaah solat yang lain dalam tempat (masjid) yang sama di masa adanya satu saf solat yang sedang didirikan oleh seorang Imam pada masa yang sama. Dengan kata lain, satu masjid hanya boleh dipimpin oleh seorang Imam dalam satu-satu masa sesuatu jenis solat itu didirikan. Disana tidak dibolehkan (haram) untuk sebuah masjid mempunyai dua imam yang mahu mendirikan sesuatu solat yang sama dan juga didalam masa yang sama (serentak).Hal ini adalah sebagaimana didalam Islam, bahawasanya tidak terdapat kewujudan istilah yang disebut sebagai pembangkang, dimana sebuah hadith berbunyi:

 "Apabila terdapat dua khalifah yang dibaiat, maka bunuhlah yang paling terakhir diantara keduanya."
 H.R. Muslim, no. 3444, Kitab Pemerintahan, Bab: Jika dua khalifah dibaiat.

Maka dengan itu, dapatlah penulis simpulkan bahawa kewajipan mentaati imam (penguasa) di luar solat adalah sama halnya sepertimana umat Islam dikehendaki mengikuti Imam di dalam solat dengan tidak mendahului ataupun menyaingi sang imam. Harus juga diingat bahawa setiaap ketaatan kepada makhluk termasuk pemerintah haruslah didasari dengan ketaatan kepada Allah dimana tidak ada ketaatan dalam hal kemaksiatan kepada Allah kerana sesungguhnya ketaatan adalah dalam hal makruf (kebajikan) (H.R. Muslim) yang membawa maksud apabila seseorang pemerintah menyuruh melakukan maksiat, maka dalam hal maksiat itu sahaja yang tidak wajib malah haram ditaati. Adapun jika si pemerintah itu memerintah melakukan perkara kebajikan (makruf) yang lain, maka ianya tetap wajib diikuti akan perintah yang bukan maksiat (makruf) itu. Wallahua’lam

Comments