KAZIM ELIAS DISANGGAH KERANA MENYANGGAH AL-QARADHAWI BERHUBUNG ISU CADBURY [BERITA]


Gambar atas: Rozaimi Ramle, Pensyarah dari Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

SHAH ALAM- Pendakwah terkenal, Ustaz Mohd Kazim Elias mendapat sanggahan daripada beberapa ilmuan tanah air yang dilihat seakan menyokong fatwa ulama' kontemporer, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berhubung isu penggunaan gelatin yang terhasil daripada DNA babi.

Dalam kenyataannya sempena wawancara yang diadakan di kompleks media Karangkraft, di sini, Kazim menemplak fatwa yang dinakalkan oleh mantan mufti negeri Perlis, Prof. Madya Mohd Asri Zainal Abidin bersumber dari tokoh ulama' kontempororer berkenaan atas dakwaan ianya bercanggah dengan fatwa keempat-empat imam Mazhab iaitu Abu Hanifah (Hanafi), Maliki, Syafie serta Hanbali.

Pensyarah dari Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhamad Rozaimi Ramle dalam kenyataan di laman Facebook miliknya menegaskan bahawa di sana perlu dibezakan antara memakan segala apa yang berkaitan dengan babi sebelum melalui proses 'Istihalah' iaitu perubahan sifat sesuatu benda yang najis kepada keadaan yang lain yang melibatkanperubahan hakikat serta bentuk najis tersebut dan juga sesudahnya.

Dalam kritikannya terhadap Kazim, Rozaimi menegaskan bahawa adalah tidak menjadi kesalahan dalam mengkritik pandangan tokoh ulama itu namun haruslah memastikan maklumat yang diperolehi cukup dan tepat dalam masalah ini.

Dalam kritikan tersebut, Rozaimi menambahkan dakwaan Kazim bahawa keempat-empat imam mazhab mengharamkan hal itu adalah tidak benar sama sekali dengan menakalkan beberapa fatwa yang dipetik dari kitab-kitab ulama bermazhab Hanafi dan Hanbali yang menyatakan kesucian bahan najis yang telah berubah sifatnya secara keseluruhan setelah melalui Istihalah.

Sebelumnya, Asri yang juga menrupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia turut menegaskan bahawa apa sahaja bahan bernajis yang telah melalui Istihalah, maka ianya dianggap suci dengan memberi contoh kepada kebolehan memakan buah yang ditanam bersama baja bernajis, kesucian garam yang terhasil daripada bangkai dan juga arak yang berubah sifatnya hingga menjadi cuka

Dalam pada itu, satu kertas kerja yang dibuat oleh penyelidik daripada Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Saadan Man juga menyatakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan andai sesuatu bahan yang mengandungi apa-apa yang dicampur dengan babi dalam pembuatannya digunakan oleh umat Islam setelah diketahui bahawa proses pembuatannya itu telah melalui 'Istihalah'  yang membuatkan zat babi itu berubah secara total (keseluruhan).

Wallahua'lam.

Berita oleh : Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri
Melaporkan untuk JUST TV

______________________________________________________
CATATAN KAKI:

Kertas kerja yang dibentangkan Saadan dibuat sempena Seminar Fenomena Najis Mughallazah Dalam Dunia Kontemporari dan boleh diakses di alamat: http://www.najahudin.com/muat%20turun/Halal%20Food%20&%20Babi/Pendekatan%20Istihalah%20Dalam%20Produk%20Yang%20Berunsurkan%20Babi.pdf .

Sumber kritikan Ustaz Rozaimi terhadap Ustaz Kazim: https://www.facebook.com/muhamad.rozaimi/posts/664083516994691

Comments