Surat terbuka buat Tok Guru Nik Aziz (Jun 2014)

Bismillah.

اِنَّ الْحَمْدَاﷲِ نَحْمَدُهُ وًنَسْتَعِنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ ، وَنَعُوْذُباﷲِ مِنْ سُرُرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّءَاتِ أَعْمَلِنَ ، مَنْ يَهْدِهِ اﷲُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِىَ لَهُ ، أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اﷲُ وَحدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَ أَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدً غَبْدُهُ وَرَسُوْلُ
أَمَّا بَعْدُ


YAB Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Semoga Tok Guru berada dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa dilindungi Allah SWT dari sebarang keburukan dan malapetaka.

2. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri. Saya merupakan pelajar di sebuah universiti tempatan mengambil jurusan kewartawanan. Pada masa sama saya juga bergiat agak cergas dalam menghadiri beberapa kuliyah agama yang disampaikan para asaatiz dalam kalangan Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU) atau merupakan nama baharu bagi Ulama Muda UMNO. Walaubagaimana pun, Demi Allah, Wabillahi, Watallahi bahawa surat ini bukanlah mewakili pandangan iLMU kerana saya tidak ada kaitan dengannya. Hanyasanya saya banyak mempelajari agama daripada asaatizah dalam kalangan mereka yang lantas  menyebabkan saya menganggap beberapa orang dalam kalangan asaatizah di dalam iLMU sebagai guru saya baik secara pertemuan (bertalaqqi) mahupun secara maya seperti melalui medium Facebook, YouTube, Blog dan sebagainya.

3. Pertamanya, biarpun saya dilihat seakan menyebelahi parti yang memerintah (UMNO) kerana berpendirian bahawa pemerintah Muslim wajib dtaati biarpun fasiq atau faajir (ahli maksiat), namun saya tetap menghormati Tok Guru sebagai seorang Muslim dan sebagaimana diketahui bahawa setiap Muslim itu bersaudara. (Rujuk ayat ke-10 dari Surah Al-Hujuuraat). Dari sudut keimanan, saya meyakini bahawa Tok Guru juga mempunyai keyakinan yang sama sebagaimana keyakinan saya iaitu Allah beristiwa’ di atas ‘Arasy.

Bantahan terhadap Takfir (pengkafiran) terhadap UMNO menerusi perbuatan Tok Guru terhadap Dyana Sofya

4. Pernyataan Tok Guru yang menyatakan bahawasanya hanya ahli atau penyokong PAS yang riak sahaja pahala amalannya tidak diterima oleh Allah (beroleh pahala) sementara bagi ahli atau penyokong UMNO Tok Guru seakan-akan melakukan generalisasi dengan menyatakan keumuman tanpa membuat sebarang rincian secara khusus dengan TIDAK menyatakan bahawa hanya ahli atau penyokong UMNO yang riak dalam amal perbuatan mereka sahaja yang pahala atau solatnya tidak diterima, jelas menunjukkan terdapat unsur berat sebelah atau prejudis di situ. Dengan kata lain, tidak kira samaada seseorang ahli ataupun penyokong UMNO itu riak mahupun ikhlas (tidak riak), mereka (ahli atau penyokong UMNO) pada fikiran Tok Guru tetap tidak akan diterima amalannya oleh Allah serta tidak memperoleh pahala dari amal perbuatan baik mereka, sementara bagi ahli atau penyokong PAS atau Pakatan Rakyat, hanya mereka yang riak sahaja tidak diterima amal atau solat mereka.

 5. Maka dengan itu,  adakah penjelasan yang dilakukan oleh Tok Guru ini boleh dikatakan sebagai adil atau sebaliknya? Biarpun tidak dengan secara jelas keluar daripada mulut pemimpin-pemimpin tertinggi PAS termasuk diri Tok Guru bahawa keIslaman seseorang akan terbatal (murtad) secara sendirinya dengan menyokong UMNO, namun pernyataan yang dilakukan ini iaitu “segala amal perbuatan seseorang akal terbatal dan tidak memperoleh ganjaran pahala dari Allah S.W.T.” seakan membenarkan atau memberi petanda bahawa ahli atau penyokong UMNO secara keseluruhannya telah melakukan syirik kepada Allah lalu menyebabkan keIslaman mereka terbatal dengan sendirinya.

 6. Dari apa yang dapat saya  simpulkan, Tok Guru secara jelas telah menyatakan secara umum (melakukan generalisasi) tanpa mengkhususkan individu tertentu yang berada didalam UMNO atau yang menyokng parti berkenaan telah menolak Islam kerana ‘menentang’ hukum Allah S.W.T. Dengan kata lain, ianya menatijahkan bahawa seseorang yang menolak hukum Hudud biarpun secara prinsipnya individu tersebut masih berkeyakinan akan kewajiban beriman terhadap hukum Allah namun pengingkarannya terhadap hukum itu hanya atas dasar menilai daripada sudut kesesuaian setempat atau kaifiat (tatacara) perlaksanaannya yang dilihat oleh individu itu sebagai agak kurang selari sebagaimana yang dikehandaki Islam,  bermakna dia sebenarnya telah kafir kepada Allah dengan kekafiran yang sebenar.

7. Ironinya, sesudah keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Teluk Intan yang menyaksikan kekalahan calon daripada parti sekutu PAS iaitu DAP yang diwakili Dyana Sofya, laporan akhbar menyiarkan teguran Tok Guru terhadap Dyana yang pada mulanya jelas menyatakan ketidak setujuan seta pengingkaran beliau terhadap PERLAKSANAAN hukum Hudud sebelum isu sosio-ekonomi diatasi. Persoalan yang timbul adalah mengapakah tidak sahaja Tok Guru menganggap rata-rata penyokong UMNO  yang dilihat seolah-olah ‘menentang’ hukum Allah itu berpendirian sama seperti Dyana?

8. Sekiranya Tok Guru boleh menganggap bahawa laporan media yang mengatakan Dyana adalah seorang yang terang-terangan menolak hukum Allah itu adalah manipulasi media (media spinning) semata-mata lalu berkeyakinan bahawa Dyana hanya mentang atau mengingkari PERLAKSANAAN Hudud yang diilhamkan PAS, maka mengapa tidak sahaja Tok Guru berdiam diri dari daripada menyatakan secara umum bahawa mana-mana ahli UMNO dikira menentang hukum Allah yang lantas menyebabkan segala amal salih mereka tidak diterima Allah? Mengapakah Tok Guru hanya bertindak menasihati Dyana dengan menyatakan kesilapan beliau dalam memperkatakan ‘penolakan’ terhadap Hudud sangat awal dan seterusnya menasihatkan: “Dari segi teknikal, ianya tidak betul. Jikalau buat-buat senyap atau sebut pada saat akhir, apa salahnya.” [Sumber: Akhbar Sinar Harian bertarikh 13 Jun 2014] Tampak seperti ada yang tidak kena dengan pernyataan Tok Guru ini iaitu kelihatan seperti Tok Guru sememangnya sudah mengetahui bahawa Dyana berfikiran sama seperti UMNO yang berpandangan bahawa Hudud masih belum sesuai dijalankan, namun tidak pula Tok Guru bertindak mengkafirkan Dyana sebagaimana Tok Guru dilihat seakan mengkafirkan mejoriti penyokong atau ahli UMNO.

Tahalluf Siyasi: Berbaloikah?

9. Pada pandangan saya, selagi PAS masih bersekongkol dalam Pakatan Rakyat, maka selagi itulah perjuangan PAS dalam menegakkan hukum Allah tidak akan kesampaian.

10. Saya  merasakan sudah sampai masanya PAS keluar daripada kepompong terlalu menjaga hati orang Kafir khususnya dari kalangan pemimpin DAP sehingga 'dipijak kepala' lalu bergabung semula bersama orang atau pemerintah Islam yang walaupun fasiq atau fajir namun mengajak kepada kedamaian kerana ketahuilah InsyaAllah mereka masih mempunyai keImanan kepada Allah dan Rasul-Nya walau seberat zarah.

Firman Allah:

فَمَا لَكُمْ فِي الْمُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ وَاللَّهُ أَرْكَسَهُمْ بِمَا كَسَبُوا أَتُرِيدُونَ أَنْ تَهْدُوا مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلا


Maka mengapa kamu (terpecah) menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang Munafiq, padahal Allah telah membalikkan mereka kepada kekafiran, disebabkan usaha mereka sendiri? Apakah kamu bermaksud memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan Allah? Barang siapa yang disesatkan Allah, sekali-kali kamu tidak mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) kepadanya. 
[Surah An-Nisa' (4) ayat ke-88]

11. Berkenaan ayat ini, Imam Muslim telah membawakan hadith di dalam kitab Sahihnya:

Dari Zaid bin Tsabit r.a.:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ إِلَى أُحُدٍ فَرَجَعَ نَاسٌ مِمَّنْ كَانَ مَعَهُ فَكَانَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ فِرْقَتَيْنِ قَالَ بَعْضُهُمْ نَقْتُلُهُمْ وَقَالَ بَعْضُهُمْ لَا فَنَزَلَتْ فَمَا لَكُمْ فِي الْمُنَافِقِينَ فِئَتَيْنِ.


Bahawasanya ketika Rasulullah S.A.W berangkat ke medan pertempuran Uhud, ada beberapa orang — yang pada mulanya ikut menyertai baginda— kembali pulang ke kota Madinah. Lalu para sahabat terbahagi menjadi dua kelompok dalam menyingkapi orang-orang yang kembali tersebut. Kelompok pertama berkata, "Kita perangi (bunuh) sahaja orang-orang yang kembali ke kota Madinah." Kelompok kedua berkata, "Janganlah kita memerangi mereka." Akhirnya turunlah firman Allah, "Maka mengapa kamu terpecah menjadi dua golongan dalam menghadapi orang-orang Munafiq." [H.R. Muslim no.2140]

BERBALOIKAH TAHALLUF SIYASI BERSAMA ORANG YANG JELAS MENUNJUKKAN PERMUSUHAN TERHADAP DASAR ISLAM? 

12. Firman Allah:

لا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلا فِي قُرًى مُحَصَّنَةٍ أَوْ مِنْ وَرَاءِ جُدُرٍ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْقِلُونَ

"(Orang-orang Yahudi dan Munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): Permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)."
[Surah Al-Hasyr (59) ayat 14]

13. Dalam mengemukakan ayat ini, tidaklah saya bermaksud untuk menyatakan bahawa PAS adalah seumpama golongan Munafiq di atas apabila dapat bersama-sama bergading bahu dengan golongan yang jelas menunjukkan permusuhan terhadap Islam seperti Yahudi dalam memerangi umat Islam atau pemerintah Islam secara khususnya. Akan tetapi saya lebih menfokuskan kepada permisalan bahawa tiada gunanya kita selaku orang Islam bergandingan dengan orang yang jelas menunjukkan kebenciannya terhadap Islam dalam menggapai satu matlamat sejagat disebabkan realitinya kita sendiri tidak sehaluan dengan mereka apatah lagi mereka yang ingin bersehaluan dengan kita dalam menetapkan Islam di kedudukan tertinggi.

14. Justeru, Saya masih sangsi, berbaloikah dan bolehkah impian PAS dalam mencapai matlamat Daulah Islam dapat dikecapi  apabila masih bersama Kuffar yang berada di dalam DAP? Jangankan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur, sesal tangisan tidak berguna lagi, hancurlah jasad dimamah bumi. 

Ibrah (Pengajaran dari Isu Mesir)

15. Saya amat berharap supaya kelak, Jangan ada samaada dari kalangan pimpinan tertinggi, ahli mahupun penyokong PAS menjadi sepertimana yang menimpa Ikhwanul Muslimin di Mesir. Akibat lebih mempercayai golongan Liberal, Plural, Syiah dan sebagainya yang mengemukakan pelbagai tuntutan yang jelas bercanggah dengan prinsip Islam iaitu golongan yang akhirnya dinamakan sebagai “Tamarrud”,  tuntutan serupa juga wujud di Malaysia seperti tuntutan kebebasan LGBT, COMANGO dan sebagainya lalu dengannya menyebabkan seruan pemerintah yang terdiri dari kalangan orang Islam diabai serta dipinggirkan. Lihatlah bahawa tidakkah golongan Tamarrud yang terdiri daripada mereka yang berfahaman Sekuler, Liberal dan sebagainya adalah golongan yang pada mulanya beria-ria menjatuhkan Mubarak bagi menaikkan Morsi lalu pada akhirnya mereka jugalah yang menjatuhkan Morsi setelah tuntutan mereka yang bercanggah dengan Islam tidak dipenuhi presiden Morsi ? Akhirnya apabila pemerintah yang mahu melaksanakan sepenuhnya dasar Islam sudah mendapat kuasa, maka bermula sudah pertubuhan-pertubuhan seperti itu menuntut pula hak mereka yang masih tidak mampu ditunaikan oleh PAS secara khususnya sebagai pemerintah baharu setelah sah memegang tampuk kekuasaan kerajaan persekutuan yang mahukan perlaksanaan Islam di Malaysia apabila persetujuan bersama di masa lalu diungkiti .

16. Sesungguhnya pimpinan yang Tok Guru rasakan pernah mengkhianati parti yang Tok Guru naungi silih berganti. Jika dahulu pimpinannya adalah orang lain, maka pada masa ini sudah pastinya dijawat oleh individu berbeza. Adakah suatu keadilan apabila Tok Guru hanya menilai pimpinan sekarang berdasarkan sejarah yang dilakukan individu berbeza yang lantas menyebabkan Tok Guru serta penyokong PAS secara umumnya ingin menyamatarakan sikap pimpinan terdahulu dengan sekarang apabila diajak bersatu?

17. Apakah masih belum jelas bahawa tindakan tentera Mesir yang memberontak ke atas pemerintah asal iaitu Morsi atau Ikhwan secara amnya membawa kepada kerosakan yang sedang berlaku dan demikian juga sebelumnya iaitu pada masa pihak Morsi (Ikhwan) memberontak ke atas pemerintah sebelumnya iaitu Mubarak. Tidak henti-henti sejarah menjadi saksi bahawa pemberontakan terhadap pemerintah Muslim adalah seratus peratus membawa kemusnahan dan kerosakan. Justeru, ambillah iktibar daripada situasi yang melanda Mesir ini.

18. Akhir kalam, saya dengan rendah hati menyeru agar Tok Guru dapat menghadam segala apa yang saya tuliskan di atas.  Penyatuan dalam kalangan umat Islam begitu penting dalam mendaulatkan Islam. Jika diperhatikan kepada sirah perjuangan Nabi s.a.w., ternyata baginda sangat menitik beratkan permasalahan Aqidah terlebih dahulu sepanjang 13 tahun Islam mula bertapak di Mekah sebelum kemudiannya berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah di mana di Madinah, barulah Syariah mahupun Negara Islam tertegak serta didirikan baginda.

19. Ternyata sebagai kesimpulannya, aspek Aqidah perlu diberi penekanan terlebih dahulu sebelum berusaha mencapai Daulah Islamiyah. Jika kita imbas kembali, mengapa Rasulullah s.a.w. menolak tawaran Musyrikin Quraisy yang menawarkan baginda s.a.w. dengan jawatan pembesar kota Makkah sekiranya baginda bersetuju mengikut kemahuan mereka agar baginda meninggalkan dakwah baginda kepada warga Makkah sebelum berlakunya Hijrah? Mengapa tidak sahaja baginda menerima tawaran sebagai pembesar tersebut lantas negara Islam segera dapat didirkan pada waktu itu yang memungkinkan segala penderitaan serta penyeksaan yang ditanggung umat Islam pada waktu itu dapat dihentikan serta-merta. Renung-renungkanlah kerana Sirah (sejarah) itu bukan hanya sebagai tatapan, namun untuk diambil pelajaran darinya.
  Wallahua’lam.

Ditulis oleh:
Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri aka Abu Afham
Mahasiswa Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media pengkususan Kewartawanan (Journalism), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Shah Alam
22 Jun 2014 06:04 a.m.








Comments