Henti Ungkit Kesalahan Nik Aziz, Doakan Keampunannya! Itu pandangan aku.

Ditulis oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri



Kembalinya Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) ke hadrat Yang Maha Esa baru-baru ini benar-benar dirasai kehilangannya bukan sahaja di pihak kawan atau penyokongnya, malah turut dirasai lawan khususnya daripada pihak kerajaan (pusat).  Sangat luar biasa apabila semasa hayat beliau yang sering dipandang lekeh oleh pihak lawannya tiba-tiba dijulang sejurus disahkan meninggal dunia. Sungguh ajaib!

Tidak kurang juga terdapat segelintir pihak yang dilihat sedikit bergembira atas kematiannya tatkala merasakan sudah hilangnya  penghalang perpaduan di antara dua parti politik yang mejoritinya dianggotai umat Islam di negara ini. Dengan kata lain, golongan ini melihat Allahyarham TGNA sebagai halangan perpaduan ummah tatkala arwah dengan lantang menolak perpaduan antara parti yang diterajuinya dengan pihak kerajaan. Walau apapun, semoga Allah mengampuni kesalahan arwah dan merahamti rohnya. Begitulah Islam mendidik supaya umatnya saling mendoakan kesejahteraan walau kepada Muslim yang zalim selagimana masih bergelar Ahlul Kiblat (menyembah Allah dengan menghadapkan wajah ke Baitullah). Namun bukanlah maksud penulis menulis di sini untuk menilai sosok yang telah kembali menemui penciptanya itu.

Secara jujurnya, penulis juga ada kalanya tidak bersetuju malah lantang mengkritik beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh arwah TGNA kerana dirasakan tidak sejajar dengan tuntutan syariat Islam yang sebenar. Namun sebagai individu yang mungkin dilihat agak menyebelahi pihak kerajaan di samping sering melihat fatwa-fatwa yang dikeluarkan Allahyarham menjurus ke arah perpecahan dan permusuhan sesama ummah, tidak pula penulis dengan senang hati menzahirkan kegembiraan di atas pemergian beliau. Sebaliknya penulis menyeru supaya masyarakat mendoakan agar Allahyarham TGNA agar diampunkan segala kesalahannya.

Di dalam kitab Sahih Imam Al-Bukhari ada menceritakan mengenai kisah seorang bapa yang menyuruh anak-anaknya agar membakar dirinya sejurus maut menjemput lalu abu mayatnya dibiarkan berterbangan dibawa angin. Kemahuan sang bapa melakukan sedemikian adalah atas faktor kesalahan (dosa) yang dilakukannya) dengan andaian bahawa perbuatan itu dapat melepaskannya daripada menerima azab di neraka melihatkan sedikitnya amalan salih sepanjang hayatnya. Apabila Allah mengadilinya, maka sang bapa itu memberi alasan bahawa perbuatannya itu adalah kerana sangat takutkan azab api neraka Allah dengan mengandaikan perbuatan itu dapat melepaskannya daripada menerima azab di neraka. Di akhir kisah itu, dinyatakan bahawa kesalahan (dosa) sang bapa itu pun diampunkan Allah.

Zahirnya, amalan sang bapa itu dilihat bercanggah dengan tuntutan syarak yang mewajibkan agar mayat seorang Muslim diuruskan dengan cara disemadikan ke dalam tanah. Andaian silap sang bapa dengan maksud yang benar-benar ikhlas iaitu dalam menebus dosanya akhirnya Allah ampunkan biarpun perkara itu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Justeru, dalam kes kematian tokoh yang menyeru kepada perpecahan, atau kesesatan secara amnya, selagi mana dia masih Muslim, mengapa tidak kita analogikan sahaja terhadap kisah pembakaran sang ayah sepertimana di atas? Kita andaikan tokoh tersebut juga telah mlakukan kesilapan dalam andaianya terhadap perjuangannya yang benar-benar dipercayainya sebagai kebenaran dan kita doakan semoga niat ikhlasnya itu dapat memadamkan segala kesalahan yang telah dilakukakan atas kesilapan serta ketidaktahuannya ( kejahilannya) dalam perkara itu.

JANGAN TAKSUB

Tahukah pembaca sekalian perihal sejarah golongan pertama yang menyembah berhala adalah kerana manusia yang terlalu melampau dalam mengagungkan seseorang yang dianggap salih?

Cuba perhatikan tafisr kepada ayat 23 surah Nuh (71) di mana dinyatakan bahawa berhala-berhala yang diberi nama Wadd, Suwaa', Yaghuts, Ya'uq dan Nasr, kesemua mereka adalah berhala yang disembah pada zaman Nabi Nuh a.s. Di antara kitab tafsir yang menerangkan kisah ini adalah Tafsir Al-Quran Al-Azim karangan Imam Ibn Kathir rhm.

Yaghuts, Ya'uq dan Nasr, ketiga-tiga mereka adalah orang-orang salih di antara zaman Nabi Adam dan Nabi Nuh dan mereka ini mempunyai pengikut tersendiri yang terdiri daripada mereka yang sentiasa setia dengan ajaran ketiga-tiga tokoh itu.

Kemudiannya, apabila ketiga-tiga tokoh salih itu mati, rakan-rakan serta para pengikutnya berkata: "Sekiranya kita membuat satu imej lakaran ketiga-tiga mereka (yang salih itu), nescaya ianya akan meningkatkan keinginan serta tahap nafsu kita dalam melakukan ibadah tatkala kita akan sentiasa mengingati mereka bertiga.

Lalu para pengikut itu pun membuat lakaran imej ketiga-tiga orang salih tersebut iaitu Yaghuts, Ya'uq dan Nasr dalam lakaran berhala. Lalu selepas para pengikut itu mati dan generasi mereka beralih zaman kepada generasi terkemudian, Iblis menghampiri generasi baru itu dan membisikkan: "Orang-orang (generasi) yang terdahulu daripada kamu menyembah ketiga-tiga berhala itu lalu mereka dianugerahi turunnya hujan."

Maka setelah itu, mereka (generasi lanjutan tersebut) pun menyembah berhala-berhala tersebut.
Atas sebab yang sama jugalah, Rasulullah s.a.w. melarang umatnya menggantung gambar makhluk bernyawa di dalam rumah apatah lagi menjadi pengukir lakaran patung atau apa sahaja stuktur yang asalnya mempunyai nyawa. Dalam banya riwayat baginda s.a.w. juga mendoakan laknat kepada penganut Kristian (Nasrani) yang apabila terdapat seorang alim dalam agama Kristian (Nasrani) mati, lalu lakaran wajah orang yang mati tersebut digantung dan dipamerkan di dalam gereja (rumah ibadat) mereka.

Disebabkan ini jugalah, Nabi s.a.w. melarang umatnya daripada memuji baginda secara melampau hingga menyandarkan sifat-sifat ketuhanan kepada diri baginda sebagaimana yang dilakukan oleh orang kristian (Nasrani) terhadap Nabi Isa a.s. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Janganlah kalian melampaui batas dalam memujiku sebagaimana orang Nasrani memuji 'Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka itu katakanlah "'Abdullahu wa rasuuluh" (hamba Allah dan utusan-Nya" [H.R. Al-Bukhari]

Tidak kurang juga terdapat segelintir daripada umat Islam mempunyai keyakinan seperti dengan melihat gambar syaikh-syaikh mereka akan menolak bala. Pernah seketika penulis mendengar ucapan salah seorang kenalan yang menyatakan bahawa dengan menggantung 'sticker' yang mempunyai lakaran sosok TGNA pada kenderaan akan membuatkan kebarangkalian kenderaan itu dicuri atau ditimpa kemalangan sangat sedikit. Jelas kepercayaan seperti ini adalah khurafat yang bertentangan dengan prinsip Islam bahkan boleh membatalkan keIslaman seseorang yang mempercayainya tatkala berkeyakinan adanya ‘khuasa ghaib’ selain Allah yang dapat menolak mudharat.

Penulis juga tidak mahu berbicara panjang perihal kepercayaan khurafat seumpama itu yang telahpun diterangkan oleh beberapa ilmuan hadith di Malaysia seperti Dr. Fathul Bari yang melarang umat Islam mengaitkan kejadian-kejadian aneh dan pelik yang berlaku adalah petanda wujudnya kes kematian seseorang walaupun si mati adalah seorang yang dikenali sebagai alim lagi salih, berdalilkan kisah teguran Nabi s.a.w terhadap beberapa sahabat baginda sewaktu hari kematian anak baginda yang bernama Ibrahim bin Muhammad s.a.w. dengan kepercayaan munculnya gerhana matahari pada ketika itu memberi petanda adanya kematian (Ibrahim) sebagaimana hadith:
Dari Al-Mughirah bin Syu’bah r.a, dia berkata:

كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ فَقَالَ النَّاسُ كَسَفَتْ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ
“Semasa hayat  Rasulullah s.a.w. pernah terjadi gerhana matahari iaitu pada hari kematian  putera baginda, Ibrahim. Orang-ramai lalu berkata, "Gerhana matahari ini terjadi disebabkan meninggalnya Ibrahim!" Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan mengalami gerhana disebabkan mati atau hidupnya seseorang. Jika kalian melihat gerhana, maka solat dan berdoalah kalian kepada Allah." [H.R. Al-Bukhari]

Hal ini belum termasuk dakwaan bahawa bencana banjir terburuk yang berlaku di negeri Kelantan baru-baru ini adalah petanda langit ‘menangis’ dengan peristiwa yang terjadi beberapa minggu setelah bencana itu. Astaghfirullah! Seolah-olah mereka ini berkeyakinan bahawa langit mengetahui perkara ghaib pula di samping Allah, padahal dalam banyak ayat di dalam Al-Quran, begitu banyak penegasan yang Allah menyatakan bahawa hanya Dia sahajalah yang mengetahui perkara gahib dan peristiwa akan dating (masa hadapan). Justeru  berhati-hatilah dalam mengagungkan orang alim dan salih. Jangan sampai syaitan menyesatkan kita dengan putar belit tipu dayanya.

Justeru, sebagai simpulan, penulis, sebagaimana hadith yang baru sahaja penulis temukan melalui penulisan Ustaz Muhamamd Fashan Ahmad Ziadi, menyeru kepada sesiapa yang masih mencela Allahyarham, ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
لا تسبُّوا الأمواتَ فتؤذوا الأحياءَ
“Janganlah kamu mencela orang yang sudah meninggal dunia, (kerana) nescaya ianya akan menyakiti orang-orang yang masih hidup (dalam kalangan ahli keluarga si mati dan orang yang menyayanginya). [H.R. Ibn Hibban, Sahih no. 3022]

Selain itu, perlu juga penulis tegaskan, berhentilah menyanjung seseorang secara melampau lagi membabi buta (tanpa dilandasi ilmu yang benar) hingga mengabaikan prinsip akidah Islam yang bertegas dalam memerangi Syirik dan kepercayaan khurafat (tahyul). Wallahua’lam.


*Penulis adalah pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Selangor.









Comments