[BERITA] Ilmuan agama berkeras pertahan Darul Hadis Pulau Pinang sebar hadis palsu

Berita Oleh: Abu Afham @ Muhammad Zulsyamini bin Sufian Suri


SERI ISKANDAR, 3 Ogos-  Beberapa ilmuan Islam tampil pada hari ini bagi menyatakan pendirian mereka berhubung isu dakwaan mengenai ‘maahad’ (pusat pengajian) Darul Hadis Pulau Pinang itu yang dikatakan menjadi pusat penyebaran hadis dan kisah palsu.

Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidindi halaman Facebook kendaliannya mengakui penaung Darul Hadis berkenaan didapati telah menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang tidak sahih seperti al-Musalsal bi Ilbas al-‘Imamah iaitu hadis musalsal memakaikan serban kepada pihak lain.

Pada beliau, isu inilah yang menyebabkan berita itu rancak diperbincangkan bila mana menyentuh sejauh manakah jenama ‘darul hadis’ itu digunapakai sedangkan banyak hadis dan riwayat kisah tertentu yang disampaikan bertaraf dhaif (lemah) bahkan palsu khususnya apabila terdapat beberapa lagi personaliti bertaraf ustaz yang juga terkenal dengan jenama Darul Hadis didapati gemar menyampaikan berbagai kisah pelik bertaraf penglipurlara yang dilihat begitu ironi dengan jenama 'Hadis' itu sendiri.

Menurutnya lagi, gambar-gambar yang memuatkan personaliti mudir Darul Hadis berkenaan dengan individu lain yang juga menaungi jenama ‘Darul Hadis’ di negeri lain juga menimbulkan kesangsian khususnya apabila individu yang dimaksudkan itu pernah membuat dakwaan ganjil seperti kekeramatan angka tertentu yang disandarkan kepada Islam, dakwaan Nabi Adam diturunkan dari syurga turun ke Gunung Jerai, kapal Tariq bin Ziyad dibuat oleh orang Kedah, kapur Firaun diambil dari Kedah dan seumpamanya, yang menjadi asas kepada kerancakan isu itu diperbincangkan.

Turut mempersoalkan kredibiliti penubuhan maahad berkenaan adalah pendakwah bebas merangkap Kanselor Agama Institut Jantung Negara (IJN) , Mohd Khairil Anwar melalui laman Facebook miliknya yang mempersoalkan bagaimana seorang yang memimpin Darul Hadis sering mengeluarkan kisah-kisah yang saling tidak tumpah seperti penglipurlara.

“Antaranya mengenai kepercayaan kepada angka 13 yang dianggap angka keramat dalam Islam, darah Mahsuri lagenda Pulau Langkawi dan kesemua wali Allah berwarna putih, Nabi Adam diturunkan dari Syurga ke Gunung Jerai yang terletak di Kedah, serta bermacam-macam lagi dakwaan dan cerita yang jauh dengan prinsip ilmu hadis yang amat menekankan kesasihan periwayatan,” jelas beliau.

Seorang pengguna maya yang enggan namanya didedahkan berkomentar, antara kisah dusta lain yang disampaikan oleh personaliti yang juga memakai gelaran Darul Hadis dengan logo pertubuhan yang seakan sama di tempat lain adalah seperti kisah Imam Ahmad bin Hanbal yang sering bermimpi berjumpa secara langsung dengan Allah di samping dakwaan yang susah diterima akal seperti bertabarruk) mengambil berkat dengan cara menelan air liur syaikh merangkap guru mereka yang dikatakan berketurunan Nabi, dan juga dakwaan Nabi hadir ke dalam mimpi syaikh mereka bagi menyampaikan lirik-lirik sya’ir qasidah dan selawat.

“Antaranya adalah mudir (pengetua) bagi Darul Hadis yang terletak di negeri Kedah yang mendakwa Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Nabi muhammad iringi beliau dari rumah ke Darul Hadis, Nabi s.a.w. hadir secara Yaqazah (sedar) andai para-pelajar di maahad pimpinannya cukup berselawat dengan kadar tertetutu, kapal sahabat Nabi, Tariq bin Ziyad dibina menggunakan kayu dari Kedah, Al-Masih Dajjal bergerak dari Jepun ke Tanah Melayu dan sebagainya di mana segala penceritaan itu kian tersebar melalui video rakaman kuliyah pengajiannya yang dimuatnaik ke laman YouTube, jelasnya”

Sementara itu menurut Dr. Fathul Bari Mat Jahaya, Exco Pemuda UMNO, Biarpun menyandarkan kepentingan pengajian dan hafalan al-Quran di samping pengajian Hadis kepada para pelajar institusi berkenaan, beliau menyifatkan bahawa penyandaran seseorang yang sangat bagus dan banyak bacaan Al-Qurannya kepada kebenaran adalah persepsi yang salah dengan mengambil contoh kepada golongan Khawarij yang muncul di zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rashidin di mana Nabi s.a.w. menyifatkan kuantiti ibadah mereka seperti solat, puasa dan bacaan Al-Quran tidak dapat ditandingi oleh para sahabat Nabi.

“Kata Nabi s.a.w.: “Akan muncul suatu kaum dari umatku yang pandai membaca Al Qur`an di mana bacaan (Al-Quran) kalian tidak ada apa-apanya dibandingkan dengan bacaan mereka. Demikian pula solat kalian (dibandingkan) dengan solat mereka. Begitu juga puasa mereka jika dibandingkan dengan puasa kalian. Mereka membaca Al Qur`an dan mereka menyangka bahawa Al Qur`an itu adalah (hujjah) bagi mereka, namun ternyata Al Qur`an itu adalah (bencana) ke atas mereka.” [H.R. Muslim]”

Semalam (2 Ogos), pihak Darul Hadis Pulau Pinang menafikan pusat pengajian itu menjadi pusat penyebaran hadis dan kisah palsu dan percaya penyebaran maklumat yang dikatakan palsu itu melalui media sosial Facebook dan WhatsApp sengaja dilakukan bagi menghalang usaha badan itu mengumpul dana RM1.8 juta untuk membeli tanah seluas 2.1 hektar di Pokok Machang, Tasik Gelugor bagi dijadikan bangunan pusat pengajian mereka.

Comments