Pelayaran tasik sementara menunggu berbuka puasa tarikan Bufet Ramadan BMLR 2019, Semanggol, Perak


BAGAN SERAI, 24 APRIL 2019: Belayar  menaiki bot merentas tasik sementara menunggu waktu berbuka menjadi tarikan unik yang terdapat menerusi pakej bufet berbuka puasa sempena Ramadan tahun ini di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), dengan tema ‘Gerbang Iftar Nusantara’.

Sajian bertemakan citarasa masakan nusantara dengan campuran beberapa menu ketimuran seperti nasi mendi dan kabsah turut  menjadi daya penarik berbuka puasa di sini sewaktu menjamah juadah di kala senja berlatarkan pemandangan Tasik Bukit Merah yang terbentang seluas 7,000 ekar.


Beberapa gerai yang dihias cantik memudahkan pengunjung memilih juadah kesukaan selain menjadi penyeri bahagian ruang legar menghadap tasik berhampiran Le’Lac CafĂ©, disulami dengan alunan muzik akustik yang dimainkan pada setiap hari  Rabu, Jumaat serta hujung minggu pastinya menggamit suasana berbuka puasa menjadi lebih syahdu.

Kambing bakar yang boleh dikatakan menjadi antara menu ‘wajib’ tatkala berbuka di hotel  turut dihidangkan selain beberapa menu santapan nusantara seperti kari kambing berkentang, bawal hitam goreng berempah, sambal sotong, rendang daging, daging tetel masak mamak, gulai udang dengan pisang muda dan sebagainya.


Eksekutif Chef BMLR, Noorul Qamar Mohd Noor, berkata sebanyak lima set menu yang bakal bersilih ganti mengikut hari disajikan pada tahun ini meliputi sehingga 50 jenis hidangan termasuk sajian makanan barat seperti spaghetti dengan kuah bebola daging, pai shepherd, pasta fusili bakar, serta makaroni ayam tumis dengan sos keju beserta tomato.


Katanya, hidangan lain seperti laksa Sarawak, roti John, murtabak, kambing serta ayam cincang Bamia, sup berempah serta cendawan, ikan kembung serta pari bakar, mi udang, roti prata, bubur nasi, cucur bergoreng, pencuci mulut yang turut disertakan dengan pelbagai jenis kerabu, salad dan ulam-ulaman turut menjadkan juadah berbuka di sini lebih ‘meriah’.

Ia menjadikan dalam sehari, dianggarkan sebanyak lima hidangan atau utama disajikan selain 1 hingga 2 jenis hidangan barat, pilihan sajian nasi selain nasi putih, sup, aneka pembuka selera, tiga pilihan kerabu, mi atau laksa, menu bakar termasuk kambing, ayam percik, ikan pari, ikan kembong dan sosej, dan lain-lain.

“Menu yang bersilih ganti pada setiap hari bertujuan meraikan kepelbagaian citarasa pengunjung di mana mereka dapat menempah pada hari tertentu yang bertepatan dengan menu kesukaan mereka sepertimana dihebahkan melalui siaran edaran seperti ‘flyers’, ‘banner’ (gegantung), media sosial, dan sebagainya.

“Kita turut menawarkan promosi pemberian satu baucer percuma untuk  setiap 10 tempahan berbayar selain berbesar hati menjadi perantara kepada  mana-mana pihak yang berkeinginan menaja anak-anak yatim  dan fakir miskin  untuk merasai pengalaman berbuka puasa dengan juadah di sini,” katanya.

Selain makan di atas meja, pengunjung juga boleh memilih untuk makan secara bersila di beberapa ruangan khas yang disediakan.

Dengan kadar RM45 bagi dewasa serta RM35 untuk kanak-kanak, warga emas, dan Orang Kurang Upaya (OKU), pengunjung pastinya berpuas hati ditambah pula dengan perkhidmatan pelayaran tasik menaiki bot secara percuma bagi 60 penumpang terawal setiap hari melalui dua sesi pelayaran masing-masing pada jam 6.15 serta 6.45 petang.

Bagaimanapun, perkhidmatan pelayaran tasik itu juga bergantung kepada paras air Tasik Bukit Merah yang menjadi nadi pengairan bagi daerah Kerian serta sebahagian daerah Larut Matang dan Selama memandangkan bot hanya boleh bergerak apabila paras air berada pada paras tertentu .


Bagi pengunjung yang ingin menghidupkan malam di bulan Ramadan, usah bimbang kerana solat tarawih secara berjamaah juga akan didirkan di surau yang terletak tidak jauh dari lokasi bufet.

Sementara itu, promosi istimewa turut ditawarkan untuk pembelian awal pada harga serendah RM35 bagi dewasa dan RM25 kanak-kanak, warga emas, serta orang kurang upaya (OKU) untuk pembelian yang telahpun bermula, iaitu dari 1 hingga 30 April 2019.

Pakej penginapan juga ditawarkan pada harga serendah RM105 untuk bilik biasa di Laketown Hotel dan RM175 untuk bilik studio Kampung Air bermula 6 hingga 31 Mei 2019 dengan disertakan
bersama satu baucer bufet berbuka puasa untuk seorang.


Untuk tempahan dan pertanyaan, hubungi +605-8908888 atau layari http://www.bukitmerahresort.com.my.

Comments