Tekad jaga isteri sakit tahap akhir, besarkan empat anak



Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

SUNGAI SIPUT: “Saya kini buntu memikirkan kepada siapa saya harus meminta simpati,” kata Nashrul Azhar, 39, menceritakan keadaan isterinya yang mengidap Idiopathic Pulmonary Fibrosis (IPF) hingga membuatkannya terpaksa dipantau sepanjang masa.

Isterinya, Mastura Mohd Yunus, 34, disahkan mengidap penyakit itu sejak 2017 yang mengakibatkan paru-parunya mengeras dan kini berada di tahap akhir sekaligus membuatkannya perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa.

Keadaan itu menyebabkan Mastura hanya terlantar di atas katil sejak Mac lalu hingga memaksa Nashrul terpaksa menjaganya dengan rapi di samping perlu menyara keempat-empat anak mereka berusia tujuh hingga 13 tahun yang masih bersekolah.



Beliau berkata, majikannya memahami keadaannya sekeluarga apabila meberi kelonggaran untuk masuk lewat ke tempat kerja bagi memantau keadaan Mastura sebelum pernanannya diganti oleh anak kedua mereka Mohd Aiman Daniel, 11, pada sebelah petang.

Malah menurutnya keadaan itu juga memaksa Mohd Aiman sering tidak hadir ke sekolah petang bagi mengikuti pengajian fardhu ain (KAFA) biarpun seharusnya menduduki peperisaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (KAFA).

Nashrul berkata pendapatannya sebagai mekanik di bengkel motosikal berjumlah RM1,200 sebulan selain bantuan bulanan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM550  serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) atau baitulmal berjumlah RM300 masih tidak mampu membiayai kos yang diperlukan untuk kelangsungan hidup isterinya.

“Setiap bulan kos yang terpaksa dibelanjakan untuk isian semula tong oksigen yang digunakan isteri melebihi RM3,000 sebulan dan ia tidak termasuk bil eletrik yang naik mendadak disebabkan  mesin jana oksigen sumbangan Baitulmal yang turut ada.

Nashrul menunjukkan resit bil yang dibayarnya bagi isian semula tong oksigen yang diperlukan oleh isterinya, Mastura


“Bukan sahaja kos, malah keadaan isteri saya sentiasa perlu dijaga rapi memandangkan satu tong besar oksigen hanya dapat bertahan selama 12 jam selain mesin jana oksigen sedia ada sudah tidak berupaya membekalkan kuantiti oksigen secukupnya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Pisang Jaya, Chemor, di sini, hari ini.

Katanya lagi, keadaan bertambah rumit apabila Mastura yang hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda memaksa beliau membawa bersama tiga hingga empat tong kecil berisi oksigen yang setiap satunya mampu bertahan selama kurang dua jam sekiranya perlu dirujuk ke hospital.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih teruk apabila ibu mertuanya yang turut tinggal serumah, Maimunah Hussin, 54, tidak dapat bergerak dengan sempurna selain buta sebelah mata dan patah sebelah tangan, menyebabkan pendapatan mereka sekeluarga kini turut bergantung kepada ayah mertua yang mengambil upah mesin rumput dengan pendapatan RM250 sebulan.

“Doktor menyatakan penyakit isteri saya ini sudah tidak mampu dirawat dan hanya mampu bertahan selama 48 jam tanpa mesin atau tong oksigen, melainkan melalui pemindahan organ paru-paru selain seharusnya ditempatkan di dalam bilik tertutup.

“Jika dahulu mungkin kami mampu memandangkan isteri dan ibu mertua sama-sama mengusahakan kedai makan selain menjual produk kesihatan secara secara sambilan, namun apakan daya,” katanya yang menambah nasib menimpanya turut mendapat simpati rakan-rakan selain menarik perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu.

Bantuan dapat disalurkan dengan menghubungi 0149063802 (Nashrul Azhar) atau melalui nombor akaun Bank Islam, 08013023400283 atas nama Mastura Mohd Yunus.

Comments