Gagal tonjol Islam sebenar punca permusuhan agama, persepsi negatif- YADIM

Gagal tonjol Islam sebenar punca permusuhan agama, persepsi negatif golongan terpesong



KUALA KANGSAR, 1 Jan 2020: Kegagalan umat Islam di negara ini menonjolkan keindahan Islam sebenar dikenalpasti sebagai punca   tercetusnya persepsi negatif dalam kalangan bukan penganut Islam yang membawa kepada ketegangan antara kaum dan agama. 

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zolkharnain Abidin, berkata, ia sekaligus menjadikan golongan yang hidup dalam keadaan bergelumang dengan dosa seperti pelacur dan Lesbian, Gay, Bisexual, dan Transeksual (LGBT) lebih menjauhkan diri dari Islam. 

Katanya, umat Islam seharusnya menjadikan akhlak Rasululullah s.a.w. yang tidak lantas menghukum individu yang ingin mahupun terjebak melakukan dosa untuk dianggap sebagai musuh, sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah melalui sentuhan psikologi terhadap individu terbabit. 

Beliau berkata, disebabkan itu wajar untuk umat Islam terlebih dahulu menyelidik punca yang menyebabkan golongan sedemikian menjadi seperti itu dan dari situlah berinteraksi secara hati ke hati dapat dilakukan agar dapat menarik mereka kembali ke pangkal jalan.

"Umpamanya kisah seorang pemuda yang meminta izin kepada Rasulullah untuk berzina sebelum baginda bertanya kembali kepadanya adakah dia suka anda seseorang berzina dengan ibu, adik, kakak dan keluarganya yang lain. Baginda tidak terus mengherdik pemuda itu sebaliknya bermain dengan psikologi sedemikian.

"Kita cuba menyantuni golongan sebegini dengan matlamat mengeluarkan mereka dari lembah kehinaan terbabit namun usaha kita sering dilemparkan dengan tuduhan jahat  walaupun si penuduh tidak tahu apa punca golongan sebegini terjebak dengan gejala berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah  sempena Program Ambang Tahun Baru 2020 di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sayong Lembah, di sini, malam tadi. 

Katanya lagi, langkah menyantuni golongan terbabit tidak sesekali bermakna meredhai maksiat yang dilakukan sebaliknya merupakan insiatif mendekatkan mereka kepada keindahan  akhlak Islam yang secara tidak langsung melunturkan kebencian dan persepsi negatif terhadap Islam dari penganut agama lain. 

Beliau berkata, disebabkan itu konsep  Rahmatan Lil Alamain kini cuba diterapkan oleh kerajaan dengan matlamat menjalin hubungan baik dengan semua golongan supaya mereka sedia mendengar penjelasan mengenai Islam yang sekaligus menampakkan sedikit kejayaan dalam aktiviti dakwah.

"Kita marah apabila penganut agama tidak menghormati agama kita tetapi adakah kita sedar bahawa kitalah punca mereka berpandangan serong kepada kita dengan sikap radikal yang kita tonjolkan  namun kita salahkan mereka sebab tidak menerima seruan dakwah kita. 

"Mengapa kita tidak semak diri kita  sendiri adakah kita berjaya tampilkan keindahan Islam dengan cara paling bagus sebagaimana Rasulullah sebelum kita rasakan diri sendiri 'suci' sehingga  sanggup terus menghukum golongan terpesong sebagai ahli neraka?

"Bagaimana dakwah kita ingin berhasil sedangkan persepsi negatif mereka sangat berat terhadap Islam sampaikan perkara yang tiada kena-mengena dengan Islam seperti tulisan Jawi pun mereka bantah habis-habisan?," katanya. 


Tamat

#Kw: Yadim, keindahan, Islam, LGBT, Pelacur, akhlak, Rasulullah, dakwah

Ditulis oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Comments