Pengekalan tradisi, inovasi perlu seimbang capai kegemilangan seiring negara Barat- Afifi al-Akiti


KUALA KANGSAR: Inovasi keilmuan perlu diseimbangkan bersama pengekalan nilai tadisi khususnya budaya setempat dalam usaha memantapkan pengamalan sesuatu ilmu berlandaskan ajaran sebenar tanpa ditokok-tambah supaya tidak tersasar dari prinsip asal.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti, berkata keseimbangan antara keduanya penting memandangkan ia merupakan intisari dari falsafah Islam yang kemudiannya diterapkan oleh negara barat khususnya Eropah sehingga mampu mencipta kegemilangan tersendiri.

Katanya, penghormatan serta penekanan terhadap nilai tradisi selain keilmuan yang menjadi kekuatan kepada Universiti Oxford yang sedia dikenali sebagai universiti terkemuka dunia seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak khususnya institusi pendidikan di negara ini.

“Jika diperhatikan, terdapat banyak bangunan lama hingga ada antaranya mencecah seribu tahun masih berdiri utuh Universiti Oxford sekaligus menunjukkan pendekatan mereka melihat tradisi sebagai sesuatu yang penting dalam membina ketamadunan berasaskan ilmu.

“Mereka begitu menghormati serta mengekalkan tradisi tanpa menghiraukan pandangan lekeh dari masyarakat luar disebabkan yakin bahawa tradisi yang baik dan dijaga rapi dapat diwariskan kepada generasi seterusnya hingga membuatkan perkembangan sesuatu inovasi tidak lari dari tradisi serta prinsip asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Oxford dan Islam” pada majlis Nadwah Jumaat Perdana di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, pada 18 Oktober 2019.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan Setiausaha Kerajaan negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Beliau berkata, untuk itu masyarakat di negara ini seharusnya menyemat keyakinan diri untuk lebih berani menzahirkan adat dan budaya setempat dengan melihat ianya bakal membawa lebih manfaat berbanding sekadar mengkagumi budaya dan tradisi luar.

 “Jangan anggap segala tradisi Arab yang terkandung serta menjadi mercu Islam mesti diamalkan oleh penganutnya di seluruh dunia kerana mungkin terdapat sesetengah perkara dalam tradisi itu dilihat tidak sesuai diamalkan dengan suasana serta budaya di negara ini.

“Keilmuan juga tidak sewajarnya terlalu menekankan tradisi semata-mata kerana kita juga dituntut untuk berganjak kearah pembelajaran secara kreatif dan inovatif,” katanya.

Beliau turut menekankankan bahawa universiti berupaya bebas dari campurtangan dan sekatan politik sekiranya menggunapakai sistem wakaf yang membolehkan ia merdeka secara kewangan berbanding sentiasa mengharapkan dana kerajaan.

Katanya, sistem wakaf yang dieksport dari negara Islam ke barat membolehkan sesuatu institusi merdeka secara kewangan seterusnya mampu menerapkan perkembangan intelektual secara sempurna tanpa dorongan dan kecenderungan terhadap mana-mana pihak.

“Kekangan menjadikan daya intelektual tidak dapat berkembang secara sempurna dan saya melihat polisi kerajaan Malaysia yang menggalakkan institusi pengajian tinggi mencari dana kewangan sendiri sebagai sesuatu yang bagus dan perlu diteruskan.

“Bagaimanapun dari perspektif Islam setiap kebebasan perlu ada had dan mengikut saluran yang benar selain adab yang perlu dijaga serta bebas dari tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ditulis oleh: Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Comments