Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
BAGAN SERAI, 28 Dis 2019: Penjara Taiping mahu terus fokus untuk mengembangkan seni tekat benang yang menjadi warisan negeri ini dalam kalangan penghuni penjara berkenaan sekaligus membantu mempromosikan kembali hasil kesenian itu.
Pengarahnya, Penolong Kanan Komisioner Mohd Farid Kassim berkata, inisiatif itu adalah bagi memberi impak positif terhadap hasil kraf negara sekaligus menjadikan produk dihasilkan penghuni penjara diiktiraf berkualiti tinggi setanding seperti dihasilkan di luar.
"Umpamanya di Pahang, Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan penghuni Penjara Bentong dan Penjara Penor menembusi pasaran antarabangsa serta mendapat tempat yang eksklusif di dalam pasaran tempatan.
"Di mana hasil tenunan itu mendapat sentuhan dan rekaan yang diilhamkan sendiri oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan digunakan sebagai persalinan pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.
"Ia menunjukkan pengiktirafan kepada hasil usaha penghuni penjara sekaligus menjadi kebanggaan seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia," katanya dalam ucapan ketika perasmian penutup Pameran Infokraf Penjara Negeri Perak di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), di sini, hari ini.
Pameran yang diadakan bermula 23 Disember lalu dan berakhir semalam itu bertujuan memperkenalkan barangan dan produk jualan ‘My Pride’ oleh penghuni penjara kepada orang ramai.
Mohd Farid berkata, usaha merancakkan seni tekat berkenaan mendapat usahasama Jabatan Kraftangan Perak yang mana bengkel tekat diwujudkan di tiga dari empat penjara di negeri ini iaitu Taiping,Tapah dan Pusat Koreksional Kamunting.
"Kini, penghuni penjara ini sudah sudah mampu menghasilkan produk tenunan berkualiti tinggi yang turut dijenamakan sebagai "My Pride" yang merupakan singkatan kepada 'Malaysia Prison Department' atau Jabatan Penjara Malaysia di mana jika diterjemahkan bermaksud 'Produk Kebanggaanku'.
"Diharapkan usaha ini mampu menjadikan produk-produk Infokraf penjara melalui jenama ‘My Pride’ dapat bersaing dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa sekaligus mendekatkan orang awam dengan Jabatan Penjara," katanya.
Comments
Post a Comment